Lelaki warga Filipina terjatuh dari kapal ditemukan meninggal dunia

KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina yang dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah kapal di Jeti Ko-Nelayan, di sini, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.

Mangsa ditemukan pasukan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian pada jam 10.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Kudat pada jam 10.37 malam, 26 Oktober lalu.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 10.42 malam, didapati benar seorang mangsa telah terjatuh ke dalam laut dari sebuah kapal yang sedang berlabuh di jeti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa yang menjadi saksi kejadian turut berusaha mencari mangsa dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh, namun gagal menemuinya.

Pasukan bomba bersama polis kemudian menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap dan disambung semula pada jam 9.20 pagi hari ini menggunakan bot penyelamat bomba.

Mangsa yang ditemukan pada jam 10.20 pagi itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Operasi membabitkan 14 anggota bomba daripada BBP Kudat dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat, selain anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi ditamatkan pada jam 11 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.