KUNAK: Seramai 10 individu ditahan dalam operasi bersepadu di daerah ini, semalam, dengan nilai keseluruhan kompaun, rampasan dan anggaran penalti mencecah RM269,439.26.
Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu Daerah Kunak itu dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kekuatan 202 pegawai dan anggota daripada 19 jabatan serta agensi penguatkuasaan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, pengesanan pemilikan bom ikan serta tindakan terhadap pelbagai kesalahan mengikut bidang kuasa agensi terbabit.
Beliau berkata, operasi itu turut menyasarkan kegiatan penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, barang bersubsidi dan tidak bercukai, selain membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Operasi bersepadu ini juga bertujuan memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan serta meningkatkan koordinasi dan perkongsian maklumat antara agensi bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan enam individu selepas memeriksa 64 orang, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu atas kesalahan berkaitan dadah hasil pemeriksaan terhadap 12 premis dan 60 individu.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah pula mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM170,000 selepas memeriksa 10 premis perniagaan yang membabitkan 45 pekerja.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok dengan anggaran nilai termasuk duti sebanyak RM30,939.26 hasil pemeriksaan terhadap enam premis.
Victor berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas kabel elektrik seberat tujuh kilogram yang dianggarkan bernilai RM3,000 selepas memeriksa 22 rumah.
Katanya, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) pula merampas sembilan enjin bot pam, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot dengan anggaran nilai keseluruhan RM10,000.
“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut mengenal pasti lima kes disyaki melakukan kesalahan untuk siasatan lanjut, dengan anggaran penalti maksimum RM50,000, tertakluk kepada hasil siasatan dan proses perundangan.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan kompaun RM5,000 dan satu notis pematuhan, manakala Majlis Daerah Kunak mengeluarkan kompaun RM500 terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen sah,” katanya.
Beliau berkata, ESSCOM akan terus mempergiat operasi seumpamanya selaras dengan prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan pantai timur Sabah terus terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan diminta menghubungi Pusat Operasi ESSCOM menerusi talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072,” katanya