KOTA KINABALU : Pusat Pembangunan dan Dasar Ekonomi (CEDP), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka ruang kepada belia meneroka peluang ekonomi dalam era kecerdasan buatan (AI) menerusi International Conference on Youth Economy and Advocacy 2026 (YEA2026) yang berlangsung selama dua hari di Hotel Le Méridien baru-baru ini.
Persidangan sulung bertemakan “Empowering Youth in the AI Era: Innovation, Inclusion and Advocacy” itu menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar, pengamal industri dan pejuang advokasi belia bagi membincangkan perubahan landskap ekonomi serta masa depan golongan muda.
YEA2026 menjadi platform pertukaran ilmu dan perkongsian pandangan berkaitan keusahawanan belia, kesiapsiagaan tenaga kerja, peluang ekonomi inklusif, advokasi belia serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang diwakili oleh Pengarah Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin, dalam era AI, pendigitalan dan perubahan pesat, belia bukan sekadar bakal pekerja, malah berpotensi menjadi usahawan, inovator, pembuat dasar, pemimpin komuniti dan pencipta peluang ekonomi.
“Golongan belia memerlukan pengetahuan, kemahiran teknikal, kreativiti, keupayaan menyesuaikan diri, pemikiran keusahawanan, kesedaran etika serta keyakinan untuk membentuk masa depan mereka.
“Di Sabah, kita boleh membangunkan penyelesaian inovatif untuk pembangunan mampan dalam bidang pelancongan, pertanian, perkhidmatan digital dan perusahaan sosial.
“Golongan usahawan muda boleh memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian serta membantu perusahaan kecil di Sabah mendapatkan pasaran lebih luas,” jelasnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi YEA2026, Profesor Madya Dr. Janice Nga Lay Hui.
Dalam pada itu, persidangan berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk GrowForward, FreeLance Forward, LiveWell@Youth, Future is HERe, mUsic4Every1 serta UMS Sunset Autism Run (USAR) 2026.
Turut hadir, Felo Kanan Pelawat ISEAS – Yusof Ishak Institute Singapura, Profesor Emeritus Dr. Tham Siew Yean serta Timbalan Dekan (Pascasiswazah) FPEP UMS, Dr. Izyanti Awang Razli, yang mewakili Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.