KOTA KINABALU: Industri madu lebah berpotensi membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan utara Sabah, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata Korporasi Pembangunan Desa (KPD) melalui Borneo Honey Bee Centre (BHBC) di Sikuati, Kudat, berjaya mengumpulkan kira-kira 30 tan madu asli yang dihasilkan oleh peladang kontrak setakat ini.
Katanya, madu berkenaan merangkumi madu liar dan madu daripada sumber ternakan lebah.
“Potensi industri madu ini cukup baik. Kita melihat usaha KPD dalam membangunkan industri ini di kawasan utara Sabah mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat kampung untuk menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Korporasi Pembangunan Desa dan Hari Terbuka Borneo Honey Bee Centre (BHBC) di Sikuati, di sini, hari ini.
Jamawi berkata beliau telah meminta KPD menyusun semula pelaksanaan program berkenaan supaya lebih ramai penduduk kampung dapat menyertai industri pengeluaran madu lebah.
Katanya, usaha itu penting memandangkan beberapa kawasan di utara Sabah, termasuk Pitas dan Kudat, masih berdepan isu kemiskinan tegar.
Beliau berkata jaminan pembelian semula madu yang dihasilkan oleh peladang kontrak KPD turut memberi keyakinan kepada peserta untuk menceburi industri berkenaan.
“Segala madu yang dihasilkan akan dibeli semula oleh KPD. Ini memberikan jaminan kepada peladang bahawa hasil mereka mempunyai pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kerjasama turut dijalinkan dengan sebuah syarikat pengeluar air terkenal di negara ini untuk menghasilkan produk baharu berasaskan madu keluaran KPD.
Katanya, produk berkenaan telah dilancarkan hari ini dan akan memasuki pasaran secara berperingkat dalam masa terdekat.
Beliau menggalakkan orang ramai menyokong produk berkenaan kerana pembelian mereka secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar yang terlibat dalam pengeluaran madu di Pitas, Punggut, Kudat dan Sikuati.
“Marilah kita menyokong industri madu lebah. Pada masa sama, kita membantu lebih ramai masyarakat luar bandar keluar daripada kemiskinan tegar,” katanya.
Hadir sama, Pembantu-pembantu Menteri I dan II MAFFI, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian; Datuk Ts Jifrin Mohammad; Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Datuk Yussof Abdul Manan dan Pengurus Besar KPD, Jailis Masarip.
Selepas itu, dalam program berasingan Jamawi mengadakan lawatan ke sebuah ladang ternakan ayam penelur yang berjumlah 600 ekor di Kampung Bingolon.