KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan kontraktor berkaitan diarah mengemukakan pelan pemulihan bagi mempercepat pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A yang mencatat kemajuan fizikal 89.54 peratus, berbanding 96.32 peratus mengikut jadual.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelan pemulihan (recovery plan) itu perlu dikemukakan segera dengan langkah realistik dan berkesan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, pelan itu perlu merangkumi usaha memperkukuh keupayaan di tapak pembinaan melalui penambahan jentera, tenaga kerja serta waktu operasi bagi mempercepat pelaksanaan kerja.
“KKR turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang tidak mencapai sasaran,” katanya.
Katanya, tindakan kontraktual tegas termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages – LAD) akan diambil sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran ditetapkan mengikut peruntukan kontrak.
Komitmen itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil. 10/2026 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, pada 28 Oktober lalu.
Dalam pada itu, KKR turut mengambil serius penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pelaksanaan projek berkenaan.
Menurut kementerian itu, kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani melalui langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola.
Penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah juga akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti.
KKR menegaskan komitmennya untuk memastikan tindakan pemulihan dilaksanakan secara berkesan menerusi pemantauan rapi dan pematuhan tatakelola yang telus demi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan untuk manfaat rakyat Sabah.