Dua hari selepas kemalangan, pembonceng motosikal disahkan maut

PENAMPANG: Seorang pembonceng motosikal berusia 45 tahun meninggal dunia pada 7 November lalu, dua hari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Putatan-Ramayah berhampiran Kampung Ulu Putatan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam, 5 November lalu, mangsa yang membonceng motosikal ditunggang lelaki berusia 28 tahun mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dipandu lelaki berusia 22 tahun.

Menurutnya, akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada 7 November lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.