GUANGZHOU: Persekutuan Syarikat Tersenarai Awam Berhad (FPLC) mencatat pencapaian penting apabila memeterai kerjasama pertamanya seumpama itu di China menerusi pertukaran Surat Niat (LOI) dengan dua kumpulan industri dari Guangzhou, sekali gus membuka peluang baharu dalam bidang pelaburan dan perindustrian antara kedua-dua pihak.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah merangkap Ahli Jawatankuasa Eksekutif FPLC, Datuk Dexter Lau mewakili FPLC pada majlis berkenaan yang berlangsung sempena Persidangan Tahunan Pelaburan Antarabangsa Guangzhou Ke-12 pada 4 November lalu.
Surat Niat itu dimeterai bersama Guangzhou Industrial Investment Holdings Group dan Dongling Holdings Group, dengan penyertaan Timbalan Pengurus Besar Guangzhou Industrial Investment Holdings Group, Zhang Jinquan serta Pengerusi Dongling Holdings Group, Lai Ningchang.
Inisiatif itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan antara Guangzhou dengan Malaysia, selain membuka ruang penglibatan lebih luas dalam pasaran ASEAN.
Penglibatan Dexter dalam majlis berkenaan adalah atas jemputan Pejabat Hal Ehwal Cina Rantau Luar Negara, Kerajaan Rakyat Perbandaran Guangzhou yang turut menghubungi beliau secara langsung bagi mewakili FPLC dalam pemeteraian kerjasama itu.
Pemeteraian berkenaan mencerminkan peranan FPLC dalam menghimpunkan syarikat tersenarai awam Malaysia untuk menyertai inisiatif pelaburan dan perindustrian rentas sempadan secara kolektif, dengan menggabungkan sumber modal, keupayaan industri, rangkaian korporat serta akses pasaran antarabangsa.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh hubungan perniagaan antara syarikat Guangzhou dengan komuniti perniagaan Malaysia dan ASEAN, selain memudahkan pertukaran pelaburan serta perindustrian.
Kedua-dua kumpulan industri berkenaan mempunyai asas perindustrian dan pengalaman perniagaan yang luas, sekali gus menawarkan potensi kerjasama kepada syarikat Malaysia dalam bidang pembuatan maju, pelaburan industri dan pelbagai sektor perniagaan.
Guangzhou Industrial Investment Holdings Group mempunyai sejarah lebih 100 tahun dalam sektor pembuatan serta menjalankan perniagaan dalam bidang pembuatan maju, perkhidmatan perindustrian moden dan pelaburan industri.
Kumpulan itu turut mempunyai operasi perniagaan di lebih 160 negara dan wilayah menerusi rangkaian anak syarikat serta syarikat tersenarai.
Sementara itu, Dongling Holdings Group yang ditubuhkan pada 1994 mempunyai lebih 50 anak syarikat, syarikat bersekutu dan syarikat pelaburan ekuiti, dengan operasi perniagaan meliputi lebih 10 negara dan wilayah.
Persidangan Tahunan Pelaburan Antarabangsa Guangzhou Ke-12 berlangsung dari 4 hingga 5 November 2026 dan menjadi platform antarabangsa bagi menarik pelaburan, menghubungkan sumber perindustrian serta memudah cara kerjasama perniagaan dan pembangunan projek.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden MCCC Sabah, Yong Siew Lee dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Cina Rantau Luar Negara, Kerajaan Rakyat Perbandaran Guangzhou, Jiang Fan.