KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong usaha memperkukuh sektor penjagaan warga emas yang berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia, termasuk di kawasan luar bandar, menerusi latihan dan pembangunan tenaga kerja terlatih.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bidang penjagaan perlu dilihat sebagai satu kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran, kesabaran, pengetahuan serta sifat kasih sayang.
“Bidang ini wajar diberikan latihan serta pengiktirafan sebagai satu kerjaya bermakna yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Sabah, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) Gala VIVA! CareFest 2026 di ITCC Penampang, di sini, Jumaat malam.
Menurut Masidi, kerajaan mempunyai tanggungjawab menyediakan dasar, perkhidmatan, latihan dan jaringan keselamatan sosial bagi menyokong keperluan penjagaan warga emas, namun usaha itu turut memerlukan kerjasama keluarga, serta komuniti.
Katanya, mengimbau zaman membesar di kampung di Ranau, semangat menjaga dan membantu warga emas sebenarnya telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Sabah menerusi amalan mitatabang atau gotong-royong, iaitu saling membantu antara satu sama lain.
“Perubahan struktur keluarga serta penghijrahan anak muda ke bandar untuk mencari pekerjaan menyebabkan sistem sokongan tradisional berkenaan semakin mencabar, khususnya apabila ibu bapa dan warga emas terus menetap di kampung”. Kata beliau.
Sehubungan itu, Masidi menyambut baik inisiatif persatuan itu dalam membangunkan khidmat penjagaan yang lebih tersusun, termasuk memperkasa latihan dan pengiktirafan kepada golongan penjaga.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebajikan penjaga sendiri perlu diberikan perhatian kerana mereka juga memerlukan sokongan, sama ada menjalankan tanggungjawab secara profesional mahupun sebagai ahli keluarga.
“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berharap PSPS dapat menggabungkan nilai kemasyarakatan dengan pendekatan penjagaan profesional bagi memastikan warga emas terus menikmati kehidupan yang aktif, berdikari dan berkualiti.”tambah beliau.