Dua lelaki dipenjara lapan bulan miliki petrol, LPG tanpa permit

SEMPORNA: Padah memiliki barang kawalan tanpa permit, dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu didapati memiliki 180 liter petrol, 28 kilogram gas petroleum cecair (LPG) dan 57 kilogram minyak masak paket satu kilogram tanpa permit sah.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Mohammad Roli Aliman berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurutnya, selepas selesai menjalani hukuman penjara, kedua-dua lelaki terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Mahkamah turut memerintahkan barang kawalan yang dirampas dijual dan hasil jualan diserahkan kepada kerajaan.

“Barang bukan kawalan yang turut dirampas pula diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tujuan pelupusan selepas tamat tempoh rayuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan adalah hasil serahan daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, Sabah, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, Mohamad Hilmy Shazaly Abdul Halim.

Mohammad Roli berkata, pihaknya akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan bekalan barang kawalan negara tidak disalahgunakan dan kepentingan pengguna terus dilindungi.