PANTAS 2 sasar ukur 5,000 ekar tanah di Kota Belud

KOTA BELUD: Kira-kira 5,000 ekar tanah di tujuh kampung di daerah ini disasarkan diukur dalam tempoh satu hingga dua tahun menerusi Program PANTAS 2 bagi mempercepatkan penyelesaian permohonan geran tanah yang tertangguh sejak puluhan tahun lalu.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, berkata program itu dijangka membabitkan kira-kira 1,500 peserta, sekali gus memberi peluang kepada penduduk mendapatkan hak milik tanah yang sekian lama dinantikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, berkata tempoh pelaksanaan pengukuran itu bergantung kepada kelancaran urusan dokumentasi dan perkara berkaitan.

Katanya, program berkenaan menjadi antara usaha penting kerajaan untuk membantu menyelesaikan permohonan tanah yang masih tertunggak, khususnya membabitkan penduduk yang menunggu sejak puluhan tahun.

“Ini juga satu penantian daripada orang kampung di sini. Saya rasa sudah puluhan tahun mereka menunggu geran mereka.

“Ramai yang memohon tetapi tidak dapat diselesaikan. Insya-Allah, kita akan cuba selesaikan menerusi pelaksanaan Program PANTAS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program PANTAS 2 di Kampung Taburan, di sini, hari ini.

Fairuz berkata, pengukuran tanah menerusi program itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan Kampung Mandawang, Kampung Taburan Damang, Kampung Taburan Tambulawan, Kampung Dudar Laut, Kampung Dudar Ulu, Kampung Sarang dan Kampung Sarang Kamalan.

Menurutnya, peluasan kawasan pelaksanaan itu bertujuan memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat, selain mempercepatkan proses penyelesaian permohonan tanah yang masih belum selesai.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) atas kelulusan peruntukan bagi menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap pelaksanaan PANTAS 2 dapat mempercepatkan proses pengukuran dan penyelesaian permohonan geran tanah, sekali gus membolehkan penduduk menikmati hak milik tanah yang dinantikan sekian lama.