KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, 7 November itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya akibat impak pelanggaran sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dipercayai sedang melakukan pusingan U.
Menurutnya, kenderaan terbabit kemudian dilanggar motosikal jenis Honda CBR150 yang bergerak lurus di lorong kedua dari kiri, dari arah Bukit Padang menuju ke Inanam.
“Pelanggaran berlaku pada bahagian sisi hadapan kiri kenderaan pacuan empat roda berkenaan sehingga menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat.
Shahrudin berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 45 tahun itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Royston Ubak menerusi talian 016-3130153 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.