KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah terus menyantuni rakyatnya di perantauan, termasuk ibu tunggal asal Sabah yang menetap di Kuala Lumpur, bagi memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyat Sabah perlu terus dipelihara tanpa mengira lokasi mereka menetap.
Menurutnya, ibu tunggal khususnya berdepan tanggungjawab besar dalam menguruskan keluarga dan membesarkan anak-anak, justeru sokongan serta perhatian berterusan penting bagi membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan.
“Walaupun mereka menetap jauh dari Sabah, mereka tetap sebahagian daripada masyarakat kita. Sebab itu, kita mahu mendekati mereka, mendengar keperluan mereka dan memastikan mereka tidak terpinggir daripada usaha kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menyantuni Ibu Tunggal Asal Sabah yang Menetap di Kuala Lumpur di Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Julita berkata, program berkenaan merupakan satu pendekatan untuk mendekati ibu tunggal asal Sabah di ibu negara melalui pertemuan secara langsung, selain memberi peluang kepada kementerian memahami keadaan dan keperluan mereka dengan lebih dekat.
Julita berkata, kementerian bercadang meneruskan program seumpama itu pada tahun-tahun akan datang dengan pendekatan yang turut memberi ruang kepada kumpulan ibu tunggal asal Sabah yang lain di Kuala Lumpur untuk disantuni, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah di perantauan dapat didekati.
Beliau turut menggalakkan golongan berkenaan supaya mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan yang disediakan Kerajaan Persekutuan, khususnya yang boleh diakses di Kuala Lumpur, tertakluk kepada syarat kelayakan masing-masing.
Pada majlis tersebut, kementerian menyalurkan sebanyak RM40,000 melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur untuk diagihkan kepada 80 ibu tunggal yang dikenal pasti, dengan setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM500.
Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong; dan Timbalan Pengarah II Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, Haisah Daud.