KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah yang semakin pesat hasil lonjakan kemasukan pelabur asing serta perkembangan sektor perniagaan tempatan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyebabkan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan jumlah kontena yang dikendalikan di pelabuhan terus meningkat sehingga kapasiti sedia ada tidak lagi mampu menampung permintaan semasa.
Beliau berkata, keadaan itu sebenarnya mencerminkan perkembangan positif ekonomi negeri apabila semakin banyak pelabur memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan.
“Pertumbuhan ekonomi Sabah yang positif hasil kemasukan pelabur asing serta perkembangan pesat sektor perniagaan tempatan telah menyebabkan kapasiti kontena yang dipertingkatkan oleh DP World Sabah masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa.
“Kadar penggunaan kawasan container yard kini secara purata telah melebihi 70 peratus dan boleh meningkat sehingga 100 peratus terutama ketika musim puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangjung Aru, Datuk Wong Hong Jun pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Kata beliau, kerajaan negeri melalui kementeriannya sedang melaksanakan beberapa langkah segera bagi meningkatkan kapasiti kawasan penyimpanan kontena di SBCP.
Antara langkah yang diambil ialah memanfaatkan kawasan Roll-on/Roll-off (RORO) sedia ada sebagai kawasan penyimpanan kontena kosong bagi mengurangkan kesesakan di container yard.
“Kementerian saya juga telah berjaya mendapatkan komitmen daripada pihak Kontraktor WCT-CCCC untuk menyiapkan sebahagian kawasancontainer yard baharu (Seksyen W) seluas 4 ekar yang dijangka siap pada Disember tahun ini.
“Pada masa sama, kementerian kini dalam proses untuk mengambil alih tanahseluas 14 ekar yang terletak bersebelahandengan SBCP untuk dijadikan sebagaikawasan container yard sementara,” jelasnya.
Menurut Ewon, pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan kesesakan di kawasan penyimpanan kontena sekali gus memperbaiki tempoh menunggu kapal untuk berlabuh di pelabuhan berkenaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh infrastruktur logistik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah dapat disokong dengan kemudahan pelabuhan yang lebih cekap dan berdaya saing.