Tekong terjun laut, tinggal 200,000 batang rokok seludup

TAWAU: Tekong bot laju sanggup terjun ke laut bagi meloloskan diri ketika dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun terpaksa meninggalkan bot bersama 200,000 batang rokok putih seludup bernilai RM160,000 termasuk cukai, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam di perairan Kampung Titingan apabila bot laju yang dipercayai membawa rokok tidak bercukai dari negara jiran mengalami kerosakan enjin ketika dikejar anggota Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda yang menjalankan Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris mengesan bot mencurigakan dalam keadaan bergelap bergerak dari arah sempadan perairan negara.

Menurutnya, bot berkenaan dikesan kira-kira 1.35 batu nautika barat daya Sungai Tawau sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, tekong bot bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek bagi mengelakkan diri daripada ditahan.

“Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin ketika dikejar, menyebabkan tekongnya terjun ke laut dan meninggalkan bot bersama muatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ariffin berkata, keadaan cuaca gelap dan perairan cetek menyukarkan usaha mengesan suspek yang melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan 20 kotak besar mengandungi kira-kira 200,000 batang rokok putih yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai rokok berkenaan dianggarkan RM160,000 termasuk cukai, manakala nilai keseluruhan rampasan membabitkan bot, enjin dan muatan dianggarkan RM190,000,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya

Dalam pada itu, Ariffin menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai dan pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah di perairan Tawau diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Tawau menerusi talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya