KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) 2024 tidak boleh menghakis kuasa autonomi imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kuasa imigresen Sabah merupakan hak yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana ia adalah sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia melalui MA63.
Menurut Joniston, AKPS Malaysia 2024 [Akta 860] berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun pendirian kerajaan negeri adalah memastikan pelaksanaannya di Sabah tidak menjejaskan hak autonomi negeri dalam perkara berkaitan imigresen.
“Kerajaan Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel Lima (V) Perjanjian Malaysia 1963 merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Kata beliau, pelaksanaan penubuhan Malaysia di bawah MA63 tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak yang memberikan perlindungan tertentu kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau menambah, kerajaan negeri telah mengemukakan pendirian rasmi kepada Perdana Menteri supaya Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus dikekalkan sebagai agensi yang mengawal pintu-pintu masuk di Sabah.
“Kuasa pengeluaran Not-To-Land (NTL) kepada individu yang tidak dibenarkan memasuki negeri ini juga perlu kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri Sabah juga menekankan bahawa jaminan perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan (constitutional safeguard) mengenai negeri Sabah hendaklah sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Beliau menegaskan sebarang pelaksanaan yang berkaitan dengan kawalan sempadan perlu memastikan tiada penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri.
Menurut beliau, pendirian tersebut bukan bertujuan menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya memastikan setiap mekanisme baharu yang diperkenalkan selaras dengan semangat MA63 serta menghormati kedudukan khas Sabah dalam Persekutuan Malaysia.