TAWAU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan terus berperanan sebagai penghubung antara mangsa banjir dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap keperluan mereka disalurkan dengan segera.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, setiap keluhan serta keperluan mangsa yang ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) akan disampaikan terus kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pendekatan turun padang menyantuni mangsa bencana akan diteruskan sebagai komitmen sayap pemuda parti itu dalam memastikan kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa terbela.
“Kami hadir bukan sekadar memberi semangat, tetapi mahu mendengar sendiri masalah yang dihadapi mangsa supaya dapat disampaikan kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri untuk tindakan segera,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di PPS Kompleks Sukan Tawau, hari ini.

PPS berkenaan kini menempatkan seramai 97 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.
Azrul berkata, lawatan itu turut melibatkan mangsa banjir dari kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Beliau berkata, setiap kali bencana berlaku, pihaknya akan berhubung terus dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua agensi berkaitan digerakkan segera untuk membantu mangsa.
“Keutamaan ketika ini ialah memastikan proses pemindahan berjalan lancar selain penyediaan makanan, minuman, tempat perlindungan yang selesa serta bekalan air dan elektrik di PPS,” katanya.

Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat turut menggerakkan bantuan sendiri termasuk bakul makanan, lampin pakai buang dan keperluan asas lain berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengurusan PPS.
“Kita mahu memastikan kebajikan mangsa sentiasa diberi perhatian sepanjang mereka berada di pusat pemindahan,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.
“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk. Jika diarahkan berpindah, segera ke PPS demi keselamatan diri dan keluarga serta memudahkan penyaluran bantuan.
“Pemuda Gagasan Rakyat akan terus menjadi penghubung antara mangsa dan kerajaan bagi memastikan setiap keperluan mereka dapat dipenuhi,” katanya.