KOTA KINABALU: Projek tebatan banjir Sungai Rampayan Fasa 2 akan dimasukkan dalam Pelan Pusingan (RP2) bagi membantu mengurangkan risiko banjir, khususnya di kawasan sepanjang aliran sungai berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata projek itu merupakan antara langkah jangka panjang yang dijangka membantu menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.
“Tadi kita mendapat berita baik bahawa projek tebatan banjir untuk Sungai Rampayan Fasa 2 akan dimasukkan dalam Pelan Pusingan 2 (RP2), bermaksud ia akan mula dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Bencana bagi kawasan Kota Kinabalu, khususnya Parlimen Sepanggar di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada kawasan sekitar Sungai Rampayan, malah kawasan berbukit yang mempunyai aliran air berkaitan.
“Jadi, saya fikir itu akan dapat membantu untuk jangka masa panjang dalam mengurangkan risiko banjir, bukan sahaja di sekitar Sungai Rampayan, tetapi juga sampai ke kawasan bukit yang sealiran dengannya. Ini akan dapat mengurangkan risiko banjir di sepanjang Sungai Rampayan,” ujarnya.
Katanya, antara langkah jangka pendek yang perlu diberi perhatian ialah pengorekan sungai, penyelenggaraan parit sedia ada dan pembinaan parit baharu atau saliran alternatif, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap dilanda banjir.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para penduduk, khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir di Sabah, supaya sentiasa berwaspada dan bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut.