Mohd Azhar dilantik Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Mohd Azhar Hamin secara rasmi menyandang pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) sekali gus dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, yang turut menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua JSPT Sabah daripada Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh kepada Deputi Superintendan Syahlan Sukimin yang dilantik sebagai pemangku.

Dalam amanatnya, Jauteh berkata, kenaikan pangkat Mohd Azhar adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi, pengalaman luas dan komitmen tinggi beliau sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya yakin Mohd Azhar mampu menggalas amanah yang diberikan serta terus memperkukuhkan kecemerlangan pasukan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah.

Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Rosdi atas sumbangan dan komitmen sepanjang menerajui JSPT Sabah, termasuk memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, meningkatkan kualiti siasatan kemalangan serta usaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya.

“Tahniah juga kepada Syahlan Sukimin atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua JSPT Sabah.

“Saya yakin beliau mampu meneruskan kecemerlangan jabatan dengan semangat kerja berpasukan dan komitmen yang tinggi,” katanya.

Jauteh berkata, landskap keselamatan Sabah yang unik dan strategik menuntut seluruh warga PDRM sentiasa memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi, meningkatkan profesionalisme serta melaksanakan tugas berteraskan undang-undang, integriti dan nilai murni.

Beliau berkata, warga JSPT perlu memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah, telus dan profesional, di samping memperkukuhkan pendidikan, advokasi serta penguatkuasaan secara seimbang bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, penggunaan teknologi, analisis data dan pendekatan berasaskan risikan juga perlu dipertingkatkan bagi memperkasakan keberkesanan operasi trafik serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Integriti adalah teras kepercayaan masyarakat terhadap PDRM. Setiap warga pasukan perlu memimpin melalui teladan, memperkukuhkan disiplin dan profesionalisme serta mengamalkan semangat kebersamaan demi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, turut diadakan Majlis Bacaan Doa Selamat sempena pelantikan Mohd Azhar sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi memohon keberkatan dan kelancaran beliau menggalas amanah baharu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah; Naib Pengerusi PERKEP Sabah, Datin Wan Hurani Osman; Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Datuk Ahsmon Bajah, barisan ketua jabatan dan formasi, ketua polis daerah, pegawai kanan, pegawai rendah, pegawai awam serta ahli PERKEP Kontinjen Sabah.