KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan Baharu terhadap 18 perusahaan yang disyaki terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida membabitkan tender bernilai RM108.3 juta, termasuk pembekalan makanan ke sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tindakan itu susulan siasatan terhadap pakatan kartel yang dipercayai berlaku dalam 30 tender bagi pembekalan makanan dan perkhidmatan pembersihan.
Beliau berkata, tender berkenaan dibuka oleh 12 entiti sektor awam, merangkumi enam kementerian, tiga IPTA, dua Jabatan Agama Islam Negeri dan sebuah badan berkanun Persekutuan.
“Antara bukti yang diperoleh MyCC ialah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk harga bidaan yang dicadangkan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Armizan berkata, keputusan cadangan itu dikeluarkan pada 13 Oktober lalu, manakala perusahaan terbabit diberikan peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat selepas mengambil kira penjelasan serta bukti yang diperoleh sepanjang penyiasatan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan terhadap amalan tipuan bida itu sejajar dengan dasar perolehan kerajaan yang mengutamakan kaedah tender, selain usaha memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Persaingan 2010.
Katanya, peruntukan tambahan turut disediakan mulai 2024 bagi memperkasakan unit berkaitan penyiasatan tipuan bida.
“Termasuk keputusan terbaharu ini, MyCC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat melalui Keputusan Cadangan dan Keputusan Akhir, membabitkan jumlah penalti RM98.49 juta,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, MyCC kini giat menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam aktiviti tipuan bida bagi tender sektor awam dan swasta bernilai lebih RM3 bilion.
Beliau berkata, tindakan berterusan itu bertujuan menangani pakatan dalam proses perolehan yang boleh menjejaskan persaingan sihat serta memastikan pelaksanaan tender berjalan secara telus dan adil.