Jack Arrey cipta sejarah, anak Sabah pertama tawan Khusargang Peak

KOTA KINABALU: Pendaki kelahiran Ranau, Jack Arrey mencipta sejarah apabila muncul sebagai anak Sabah pertama berjaya menawan Khusargang Peak di Pakistan yang berketinggian 6,100 meter dari paras laut (mdpl).

Kejayaan itu dilakar pada 2 Ogos lalu, jam 8.07 pagi waktu Pakistan, bersamaan 11.07 pagi waktu Malaysia, selepas beliau menamatkan ekspedisi pendakian selama tujuh hari bersama tujuh lagi pendaki dari negara ini.

Lebih membanggakan, hanya dua daripada lapan pendaki Malaysia yang menyertai ekspedisi berkenaan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Khusargang Peak, sekali gus menjadikan Jack dan seorang lagi pendaki dari Semenanjung sebagai rakyat Malaysia pertama menawan gunung berkenaan.

Jack berkata, kejayaan itu adalah hasil pengorbanan, latihan rapi serta ketabahan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang ekspedisi.

“Saya sangat bersyukur dan teruja. Sejujurnya saya menangis apabila tiba di puncak kerana tidak pernah menyangka impian untuk menawan gunung ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, pendakian ke Khusargang Peak bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah memerlukan kekuatan mental yang tinggi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, laluan salji tebal, suhu di bawah paras beku, kandungan oksigen rendah serta risiko Acute Mountain Sickness (AMS).

Katanya, perjalanan menuju puncak mengambil masa tujuh hari, manakala pendakian terakhir dari Camp 2 ke puncak mengambil masa kira-kira 10 jam tanpa henti dalam keadaan yang amat mencabar.

“Walaupun saya sudah hampir 30 kali mendaki Gunung Kinabalu, pendakian di Khusargang adalah pengalaman paling sukar pernah saya lalui.

“Setiap langkah benar-benar menguji ketahanan fizikal, mental dan semangat untuk terus bertahan sehingga ke puncak,” katanya.

Jack yang juga Mister Kaamatan (MRK) 2024 berharap kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sabah untuk berani mencabar kemampuan diri serta mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua ekspedisi, Nor Faizal Nordin, rakan-rakan pendaki, malim gunung serta ahli keluarga dan sahabat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang misi berkenaan.

“Pendakian ini bukan sekadar tentang menawan sebuah puncak, tetapi mengenai keberanian mengatasi cabaran, mengenal kemampuan diri dan menghargai setiap langkah sepanjang perjalanan. Sabah di hati, Malaysia di puncak dunia,” katanya.