Lelaki melecur di muka akibat kebakaran kepala gas dapur

PUTATAN: Seorang lelaki melecur di bahagian muka selepas berlaku kebakaran membabitkan kepala gas dapur (gas regulator) tong gas LPG di sebuah premis makanan di Kopi Ping, K-Avenue, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.58 tengah hari itu, mangsa berusia 30 tahun dihantar ke hospital oleh pekerja premis menggunakan kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi, berkata sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dari BBP Putatan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.07 petang dan mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur sebuah kedai.

“Kebakaran hanya membabitkan kepala gas dapur (gas regulator) tong gas LPG dan berjaya dipadamkan lebih awal oleh pekerja menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihak bomba tidak menjalankan operasi pemadaman kerana api sudah dipadamkan sepenuhnya.

“Pasukan hanya menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan atau bahaya lain yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan pada jam 2 petang dan semua anggota kembali ke balai,” katanya.