KOTA KINABALU: Seramai 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Todak yang dilaksanakan secara bersepadu di sekitar kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan berhampiran, pada 4 Ogos lalu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memeriksa seramai 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) sebelum menahan 10 PATI berkenaan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Bagi penguatkuasaan di kawasan perairan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dengan kerjasama APMM memeriksa empat bot, selain menahan lesen asal sebuah bot berikutan kesalahan membabitkan dokumen pengenalan pelaut warga asing yang telah tamat tempoh.
“Kedua-dua agensi turut menjalankan pemantauan bagi mengesan individu yang cuba melarikan diri dengan terjun ke laut ketika operasi berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, APMM menggerakkan dua aset maritim membabitkan 14 anggota untuk memeriksa sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT).
Hasil pemeriksaan, seramai tujuh kru diperiksa sebelum diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, DBKK mengambil tindakan kompaun terhadap dua penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah di kawasan SAFMA dan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Penguatkuasaan turut membawa kepada penyitaan sebuah motosikal serta beberapa peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan.
“Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan terkawal, PDRM menggerakkan 21 anggota daripada Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin.
“DBKK pula mengerahkan 35 anggota Jabatan Penguatkuasaan bagi menjalankan tugas pengawasan dan kawalan di kawasan operasi,” ujarnya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan bersepadu akan terus dipergiat secara berkala bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bersih, selamat, teratur dan berdaya huni.
Operasi yang bermula jam 11 malam itu diselaraskan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).