KOTA KINABALU: Program RISE dan S-Seed menjadi platform penting dalam memperkasa 30 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan daya saing serta menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, program berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bagi menterjemahkan idea dan potensi perniagaan kepada produk serta perkhidmatan yang mampu bersaing di pasaran.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pelbagai dasar, polisi dan inisiatif bagi membantu PMKS tempatan menangani cabaran termasuk akses kepada pembiayaan, premis, pasaran dan logistik.
“Keseluruhan ekosistem itu menjadi sebahagian daripada cabaran yang kita hadapi sebagai usahawan, termasuk akses kepada pembiayaan, kemudahan premis atau infrastruktur, akses kepada pasaran, isu logistik dan banyak lagi.
“Sebab itu tanggungjawab kementerian adalah melihat kepada ekosistem ini dan bagaimana ia dapat ditambah baik supaya yang mendapat hasilnya adalah usahawan PMKS di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program RISE dan S-Seed yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Bannah dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng.
Menurut Ewon, pendekatan dalam membimbing usahawan juga perlu berubah seiring perkembangan teknologi dan corak pasaran semasa, termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), media sosial serta platform digital dalam pemasaran produk.
Katanya, program pembangunan keusahawanan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada teknologi, inovasi dan strategi pemasaran moden.
“Kalau sudah 30 tahun kita masih buat kursus dan kraftangan, saya masih menyokong, tetapi kalau sudah 30 tahun, cara pemasaran dan pembangunan produk itu sudah jauh berbeza.
“Pertimbangkan bagaimana kita menggunakan teknologi dan inovasi sepertu AI boleh membantu membaca data yang kita perlukan, termasuk dalam membuat pemasaran di platform media,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ewon mencabar 30 usahawan yang menyertai program berkenaan supaya tidak sekadar memasarkan produk di Sabah, sebaliknya berani membawa jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.
Katanya, usahawan Sabah mempunyai produk dan perkhidmatan yang mampu bersaing dengan pemain industri dari negeri lain sekiranya mendapat sokongan ekosistem yang sesuai.
“Saya tidak mahu produk-produk ini hanya dipamerkan di sini. Besok-besok biarlah dipamerkan di seluruh negara.
“Mungkin ada keperluan untuk kita pergi ke pasaran China, Timur Tengah dan Eropah. Dengan media sosial, kita juga boleh membuat pasaran sekarang,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa peserta program memastikan produk masing-masing memenuhi keperluan untuk menembusi pasaran antarabangsa, termasuk mendapatkan pensijilan halal serta mendaftar dengan agensi berkaitan.
“Jangan pasarkan kerepek kita, sambal kita, perkhidmatan kita kepada saya atau kita sahaja. Pasarkan produk Sabah ini, jenama Sabah ini kepada pasaran dunia.
“Rakyat Sabah juga berada di seluruh dunia. Pasarkan kepada saudara-saudara kita di seluruh dunia,” katanya.
Ewon berkata, pihaknya bersedia mendengar pandangan serta keperluan pemain industri bagi memastikan dasar dan peruntukan kerajaan dapat disesuaikan dengan cabaran sebenar yang dihadapi usahawan.
Beliau turut berharap 30 usahawan yang dipilih menyertai RISE dan S-Seed mampu berkembang menjadi antara kisah kejayaan baharu PMKS Sabah.
“Mudah-mudahan saya dapat membawa saudara-saudari ke pasaran antarabangsa.
“Syaratnya, produk mesti baik, harus ada sijil halal dan berdaftar dengan agensi berkaitan. Barulah kita sama-sama menyertai pasaran di luar negara,” katanya.