Kerajaan Sabah, SHAREDA perkukuh kerjasama pacu sektor hartanah dan perumahan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA) terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong pembangunan serta pertumbuhan sektor hartanah dan perumahan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menerima kunjungan hormat Presiden SHAREDA, Datuk Johnny Wong Chen Yee bersama rombongan di pejabatnya, di sini.

Dalam kunjungan itu, Masidi diberi taklimat mengenai perkembangan semasa sektor hartanah dan perumahan di Sabah, termasuk peranan serta sokongan SHAREDA dalam membantu Kerajaan Negeri memperkasa pembangunan sektor berkenaan.

Kerjasama antara kerajaan negeri dan pemain industri dilihat penting bagi memastikan sektor hartanah dan perumahan terus berkembang serta dapat menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.

Masidi turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan SHAREDA dapat terus diperkukuh demi pembangunan sektor hartanah dan perumahan di Sabah.