TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan dilanggar sebuah lori rigid di Jalan Timur, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4.11 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori rigid jenis Nissan dipandu lelaki tempatan berusia 62 tahun secara bersendirian dari arah Air Panas menuju ke Eastern Engineering, Jalan Timur.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan lori terbabit.
“Akibat kejadian itu, motosikal mangsa dilanggar lori berkenaan dan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian ak Wilson Sigai di talian 016-806 7272 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.