RANAU: Kebakaran hutan membabitkan kawasan seluas kira-kira 50 ekar di Puncak Bukit Skim 2, Lohan 1, di sini, berjaya dikawal pada jam enam pagi, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam tadi.
Katanya, tujuh anggota BBP Ranau diketuai PBK II Nickson Juni digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.51 malam, kira-kira 11 kilometer dari balai.
“Komander operasi melaporkan kebakaran hutan melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 50 ekar dan operasi berjaya dikawal pada jam 6 pagi.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi turut menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.
Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.