KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah memerlukan kerjasama menyeluruh semua kementerian, agensi kerajaan dan sektor berkaitan bagi memastikan sektor itu terus berkembang serta mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin.
Menurut beliau, pelancongan bukan industri yang boleh bergerak secara bersendirian kerana kejayaannya turut bergantung kepada pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, bekalan air, pengangkutan, infrastruktur serta perkhidmatan awam.
Katanya, sebarang kelemahan dalam sektor sokongan berkenaan boleh memberi kesan secara tidak langsung kepada pengalaman pelancong dan imej destinasi.
“Industri pelancongan ini sangat unik. Kelangsungan dan kejayaannya banyak bergantung kepada sektor lain, bukan bergerak sendiri.
“Sebagai contoh, kalau pelancong datang tetapi tidak mempunyai makanan dan minuman yang menarik, masalah itu turut berkait dengan kementerian saya kerana kita menghasilkan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) Sabah 2026 di Imago Shopping Mall, di sini, hari ini.
Chan yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut mengambil contoh isu gangguan bekalan air yang boleh menjejaskan pengalaman pelancong sekiranya berlaku ketika mereka berada di Sabah.
“Kalau mereka datang ke sini dan pelancong mengadu selalu berlaku gangguan air, itu menjadi isu Jabatan Air Negeri Sabah,” jelasnya.
Beliau menegaskan semua pihak perlu mengamalkan pendekatan ‘whole-of-government’ bagi memastikan setiap segmen kerajaan memainkan peranan dalam menjayakan agenda pelancongan negara, khususnya menjelang Visit Malaysia 2026–2027.
Tambahnya, pendekatan sama perlu diperluaskan kepada masyarakat melalui konsep ‘whole-of-society’, dengan penglibatan sektor swasta dan media sebagai rakan strategik industri pelancongan.
“Kalau kita benar-benar mahu memastikan industri ini berjaya, setiap segmen kerajaan mesti mengamalkan pendekatan whole-of-government.
“Bukan sahaja kerajaan, masyarakat juga perlu mengamalkan pendekatan whole-of-society,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, peranan media juga penting dalam membantu mempromosikan aktiviti serta produk pelancongan kepada masyarakat dan bakal pelancong.
Dalam pada itu, Chan berkata pembangunan pelancongan Sabah perlu bergerak seiring dengan pengukuhan sektor lain bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai lebih meluas oleh masyarakat tempatan.
“Sabah mempunyai pelbagai produk pelancongan termasuk ekopelancongan, budaya, komuniti, pantai dan pulau yang berpotensi terus dikembangkan untuk menarik lebih ramai pelancong domestik,” tambahnya.
Katanya, usaha memperkukuh ekosistem pelancongan secara menyeluruh juga penting bagi memastikan Sabah kekal sebagai antara destinasi pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa.