KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui tersepit dan tidak sedarkan diri selepas kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di hadapan Petronas Likas, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.34 pagi sebelum anggota tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian.
“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan Rescue Tools.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Operasi tamat pada 1.57 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.