Sambutan ulang tahun Yayasan Sabah: Tiada proposal RM945,000 dikemuka kepada pengurusan tertinggi

KOTA KINABALU: Tiada sebarang proposal atau permohonan bajet dikemukakan kepada pihak pengurusan Yayasan Sabah (YS) bagi penganjuran malam sambutan ulang tahun seperti yang didakwa menerusi hantaran sebuah halaman Facebook pro pembangkang berhubung peruntukan RM945,000.

Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya berkata, beliau sendiri hanya mengetahui mengenai jumlah berkenaan selepas ia tular di media sosial dan bukannya melalui pihak pengurusan yang meluluskan bajet.

“Setahu saya belum ada pun proposal atau permohonan bajet untuk tujuan ini sampai ke pihak pengurusan yang meluluskan bajet.

“Saya pun cuma tahu berkenaan nilai ini daripada posting halaman tersebut… cepat sumbernya memaklumkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jasnih berkata, Jawatankuasa Penganjur sememangnya boleh mengemukakan cadangan dan memohon peruntukan, namun perkara itu tidak bermakna jumlah yang dicadangkan akan diluluskan.

Menurutnya, sebarang permohonan membabitkan jumlah yang tinggi perlu melalui penelitian pihak pengurusan dan boleh disemak semula, termasuk mengurangkan jumlah berdasarkan keperluan sebenar.

“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan.

“Untuk permohonan setinggi ini, selalunya akan diminta untuk disemak semula dan diperkecilkan jumlahnya jika perlu mengikut keperluan untuk mengelakkan pembaziran,” katanya.

Dalam pada itu, Jasnih menegaskan YS mempunyai mekanisme kawalan bagi memastikan perbelanjaan berlebihan tidak berlaku.

Katanya, setiap perbelanjaan perlu mengambil kira keperluan dan kepentingan rakyat Sabah.

“Pihak YS memang ada mekanisme yang mengawal perbelanjaan berlebihan. Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.