KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang terbesar kepada usaha Malaysia dalam mengekalkan liputan hutan negara, dengan kedua-dua negeri masing-masing merekodkan liputan hutan sekitar 62 dan 63 peratus.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, secara keseluruhan Malaysia kini mempunyai 54.4 peratus liputan hutan, sekali gus melepasi komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus liputan hutan.
Katanya, angka berkenaan menunjukkan Malaysia terus memenuhi komitmen antarabangsa yang dibuat menerusi Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) pada tahun 1992 di Rio de Janeiro.
“Baru-baru ini kita telah mengemukakan laporan ke peringkat antarabangsa dan kita sekarang berada pada 54.4 peratus, bermakna kita melebihi kadar minimum bagi perjanjian antarabangsa itu.
“Tetapi di Sabah dan Sarawak, kita lebih tinggi, sekitar 62 dan 63 peratus. Ini bermaksud, Sabah dan Sarawaklah penyumbang yang paling besar kepada usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Tropical Forestry 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Arthur berkata, justeru persidangan berkaitan perhutanan tropika ini wajar terus diadakan di Sabah bagi memberi tumpuan lebih besar terhadap usaha pemuliharaan khazanah hutan negeri itu.
Menurutnya, konservasi merupakan satu aspek penting, namun pada masa sama kekayaan sumber semula jadi negara perlu diterokai secara mampan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu.
“Konservasi hanyalah satu aspek, tetapi aspek kedua ialah bagaimana kita boleh komersialkan khazanah yang ada supaya kita dapat memanfaatkannya dan membawa lebih banyak sumber pendapatan baharu kepada negeri kita.
“Pada masa yang sama, ia tetap selari dengan prinsip kelestarian supaya ia dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Arthur memaklumkan penyertaan peserta antarabangsa dari Indonesia, Vietnam, Jepun dan New Zealand dalam TF 2026, hari ini turut mencerminkan perhatian dunia terhadap kekayaan hutan tropika yang dimiliki Malaysia, khususnya di Sabah.
Katanya, penglibatan akademia, industri, sektor swasta dan pembuat dasar dalam persidangan berkenaan penting bagi mencetuskan inovasi serta pendekatan baharu dalam memanfaatkan sumber hutan secara bertanggungjawab.
“Aset kita di Malaysia ini telah mendapat perhatian di seluruh dunia.
“Oleh sebab itu persidangan seperti ini sangat sesuai diadakan di Sabah supaya kita boleh memberi lebih banyak tumpuan dan usaha kepada konservasi di Sabah,” ujar beliau.