KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik usaha Energy China meneroka peluang pelaburan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, minat syarikat berkenaan untuk meneroka peluang pelaburan di Sabah merupakan perkembangan positif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat China Energy yang diwakili Naib Presiden CEIG (Malaysia), Yingfei Huang, di pejabatnya di sini.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa, aktiviti serta perancangan China Energy di Sabah.
Masidi menzahirkan penghargaan atas kunjungan berkenaan dan menyambut baik usaha syarikat itu meneroka peluang pelaburan yang berpotensi memberi manfaat kepada pembangunan negeri.