JPN Sabah siap siaga pastikan kelancaran peperiksaan SPM, STPM

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dijadualkan bermula tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, seramai 37,000 calon bakal menduduki peperiksaan SPM manakala 8,200 calon pula bagi STPM pada tahun ini.

Katanya, pihak JPN telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta kemungkinan berlakunya bencana alam lain sepanjang tempoh peperiksaan.

“Pihak JPN sudah membuat persediaan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut ataupun bencana alam yang lain.

“Kami telah mengadakan mesyuarat dan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak bomba, polis dan agensi lain bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

“Turut dibincangkan perkara-perkara yang melibatkan aspek kebajikan dan penempatan asrama sekiranya berlaku banjir atau bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Menurutnya, kunjungan itu turut bertujuan memaklumkan kepada Tun Musa mengenai pencapaian pendidikan Sabah termasuk keputusan SPM dan STPM 2025 yang menunjukkan peningkatan dalam gred purata negeri.

Dalam pada itu, Abidin turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas penempatan guru baharu bagi sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Beliau turut berharap semua calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM agar terus memberikan tumpuan kepada pelajaran serta mengekalkan disiplin yang tinggi.

“Pihak JPN harap para pelajar menggunakan masa yang ada untuk terus membuat ulang kaji selain pengurusan sekolah juga diharapkan sentiasa memberi sokongan motivasi kepada mereka.

“Tidak lupa juga selain berusaha para pelajar perlu memohon doa agar dipermudahkan menjawab semasa peperiksaan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Mohd Fadzli Abd Rozan dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Murid, Muddin Beting.