KOTA KINABALU : Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah bakal menganjurkan Golf Amal Prihatin sempena ulang tahun ke-25 persatuan itu, dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM100,000.
Antara penganjur program, Sazali Md Salleh, berkata program bertemakan ‘Sumbangan Berterusan, Membela Pelajar, Memperkasa Prasarana’ itu mencerminkan komitmen Alumni UiTM Sabah dalam membantu pelajar kurang berkemampuan serta menyokong pembangunan prasarana Laluan Menara Ilmu.
“Program ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 Alumni UiTM Sabah, tetapi turut menjadi platform mengumpul sumbangan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dan menyokong pembangunan prasarana kampus,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, di pejabatnya.
Sazali yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan, berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian, di samping memperkukuh kemudahan kampus demi kesejahteraan warga universiti dan generasi akan datang.
“Kami berharap mendapat sokongan daripada alumni, sektor korporat, penaja serta masyarakat umum bagi menjayakan matlamat ini,” katanya.
Di samping itu, penganjuran tersebut turut diharap dapat mengeratkan hubungan sesama alumni dan memupuk semangat kebersamaan dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
“Orang ramai, pemain golf, alumni dan organisasi dialu-alukan menyertai kejohanan berkenaan.” Kata Sazali Kejohanan Golf Amal Prihatin itu dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026 (Sabtu), dari jam 6.30 pagi hingga 3 petang di Dalit Bay Golf & Country Club.
Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran, pakej penajaan dan sumbangan, pihak yang
berminat boleh menghubungi:
- Hj Samsuddin Hj Mohd Amin: 019-841 0777
- Mat Salleh Hj Hashim: 019-801 6308
- Hj Sazali Md Salleh: 013-860 4288
- Rosmini Simin: 019-872 9878