KOTA KINABALU: Harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang melonjak tinggi terutama ketika musim puncak perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan kepada mobiliti, pendidikan, ekonomi dan hubungan kekeluargaan rakyat Sabah, kata Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Menurut beliau, bagi rakyat Sabah, penerbangan bukan lagi satu kemewahan sebaliknya menjadi keperluan berikutan ketiadaan alternatif pengangkutan darat seperti jalan raya atau kereta api yang menghubungkan Sabah dengan Semenanjung.
“Bagi rakyat Sabah, kapal terbang bukan kemewahan, ia adalah keperluan.
“Apabila tambang terlalu tinggi, mahasiswa mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan kembali ke kampus, usahawan muda kehilangan peluang, atlet terpaksa memikirkan semula penyertaan dalam pertandingan dan ibu bapa pula perlu mencari wang tambahan hanya untuk membeli tiket anak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keadaan lebih membebankan apabila rakyat Sabah di Semenanjung menerima berita kecemasan atau kematian ahli keluarga kerana kos penerbangan yang tinggi boleh menjadi halangan untuk mereka pulang segera.
“Lebih menyedihkan apabila ada anak Sabah di Semenanjung menerima berita kecemasan atau kematian ahli keluarga, tetapi perkara pertama yang terpaksa difikirkan ialah mampukah saya membeli tiket untuk pulang.
“Jarak tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada rakyat Sabah,” jelasnya.
Abqaree berkata, kos mobiliti yang terlalu tinggi turut memberi kesan terhadap pembangunan Sabah apabila rakyat negeri ini terpaksa menanggung apa yang disifatkannya sebagai ‘kos geografi’ untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan peluang ekonomi di peringkat nasional.
MBS menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan mempertimbangkan intervensi lebih berkesan bagi menangani kenaikan tambang penerbangan, khususnya ketika musim puncak.
“Antara cadangan dikemukakan ialah meningkatkan kapasiti tempat duduk ketika musim permintaan tinggi, menggalakkan persaingan antara syarikat penerbangan serta memperkukuh pemantauan terhadap lonjakan tambang,” ujarnya.
MBS turut mencadangkan mekanisme bantuan atau tambang bersasar dipertimbangkan bagi golongan tertentu, termasuk mahasiswa, atlet dan mereka yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kecemasan keluarga.
Pada masa sama, Abqaree berkata MBS memahami industri penerbangan berdepan kos operasi dan harga tiket dipengaruhi faktor permintaan, namun faktor geografi tidak seharusnya menyebabkan rakyat Sabah membayar harga terlalu tinggi untuk mendapatkan peluang yang sama.
“Kami tidak meminta tiket percuma. Kami meminta satu sistem yang lebih adil.
“Penerbangan antara Sabah dan Semenanjung bukan sekadar menghubungkan dua destinasi, ia menghubungkan keluarga, pendidikan, pekerjaan, peluang dan masa depan anak-anak Sabah,” tambah beliau.