KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, namun mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang dilantik mempunyai keupayaan serta rekod prestasi yang baik.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, berkata pelaksanaan JENDELA 2 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah projek atau tempoh siap semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kualiti, kestabilan dan kebolehpercayaan perkhidmatan Internet yang diterima rakyat.
Katanya, pengalaman berkaitan prestasi Internet di sekolah-sekolah Sabah sebelum ini perlu dijadikan pengajaran supaya kelemahan sama tidak berulang, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi sektor pendidikan, Internet yang stabil bukan lagi kemudahan tambahan tetapi satu keperluan bagi memastikan guru dan pelajar dapat mengakses pembelajaran digital, platform pendidikan serta sumber dalam talian dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa MCMC memastikan MNO yang dilantik untuk melaksanakan Bahagian 2 JENDELA 2 mempunyai keupayaan teknikal, kapasiti operasi dan rekod prestasi yang terbukti, bukan sahaja untuk menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan tetapi turut memastikan kualiti perkhidmatan selepas projek siap.
James berkata, kejayaan JENDELA 2 di Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah menara yang dibina atau kawasan yang mempunyai liputan semata-mata, sebaliknya berdasarkan kemampuan rakyat menikmati akses Internet yang berkesan, konsisten dan boleh dipercayai dalam kehidupan seharian.
“Sabah mahu JENDELA 2 bukan sahaja siap mengikut jadual, tetapi memberikan kesalinghubungan yang bermakna dan berkualiti kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” jelasnya.