TUARAN: Empat rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Lorong 10, Taman D Sri Gayang, di sini, tengah hari tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 12.48 tengah hari, kira-kira 17 kilometer dari balai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, kebakaran membabitkan empat rumah teres dua tingkat jenis kekal dengan setiap rumah berkeluasan kira-kira 15 x 30 kaki.
Menurutnya, sebuah rumah terbakar kira-kira 90 peratus, manakala tiga lagi masing-masing mengalami kemusnahan sebanyak 30 peratus, 10 peratus dan 10 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200 kaki dengan dua pancutan air, masing-masing daripada sumber air jentera bomba dan pili bomba.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya, hari ini.
Seramai 12 anggota BBP Tuaran terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) membabitkan 10 anggota dan satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan dua anggota.
Operasi berjaya dikawal pada jam 1.13 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.11 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi kejadian.