Jambatan sementara KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen kini dibuka semula

KOTA KINABALU: Jambatan sementara di KM2.850 Jalan Tun Fuad Stephen akan dibuka semula kepada lalu lintas bermula jam 12 tengah hari, hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu notis memaklumkan pemasangan jambatan sementara di lokasi berkenaan telah siap dan boleh digunakan oleh orang awam.

Bagaimanapun, beberapa sekatan dikenakan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kenderaan berat seperti treler, lori kontena, bas persiaran serta kenderaan yang melebihi berat lima tan dan ketinggian 2.5 meter tidak dibenarkan menggunakan jambatan berkenaan dan dikehendaki menggunakan jalan alternatif yang lain,” katanya.

JKR Sabah turut memaklumkan pemasangan palang had ketinggian akan dilakukan di lokasi berkenaan bagi mengawal had ketinggian kenderaan yang dibenarkan melalui jambatan tersebut.

Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda amaran dan lalu lintas yang dipasang di lokasi bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya.