Produk anak Sabah mampu tembusi pasaran nasional – Masidi

KOTA KINABALU: Produk anak Sabah kini membuktikan keupayaan untuk keluar daripada pasaran tempatan dan bersaing di peringkat nasional, dengan kejayaan Borenos Fried Chicken Sdn Bhd membuka ruang lebih luas kepada jenama tempatan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata kejayaan Borenos mengembangkan operasi ke Semenanjung Malaysia membuktikan produk kelahiran Sabah mempunyai kualiti dan daya saing untuk diterima pengguna di luar negeri.

Menurutnya, pencapaian syarikat yang diasaskan anak Sabah itu perlu dijadikan contoh kepada lebih ramai usahawan tempatan supaya berani memperluaskan pasaran serta tidak gentar berdepan persaingan dengan jenama dari luar.

“Harapan saya ialah ini menjadi satu penyuntik semangat kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk tidak ragu-ragu bersaing dengan syarikat-syarikat yang datang daripada luar Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Borenos di Pasaraya Imago, di sini, semalam.

Masidi berkata, Borenos yang bermula di Tamparuli membuktikan jenama tempatan mampu berdiri setanding dengan rangkaian ayam yang lebih dikenali di peringkat nasional.

Katanya, dalam industri makanan dan minuman, kekuatan sesebuah jenama tidak seharusnya hanya bergantung kepada populariti, sebaliknya kualiti produk yang ditawarkan kepada pengguna.

“Jika kita bercakap tentang jenama besar, adakah kita membeli jenama atau kualiti produk?” katanya.

Beliau berkata, dari segi kualiti produk, Borenos mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan jenama yang lebih besar, sekali gus membuktikan produk tempatan tidak semestinya berada di belakang jenama dari luar Sabah.

Borenos kini mempunyai tujuh cawangan di Sabah dan tiga cawangan di Semenanjung, dengan perkembangan itu mencerminkan penerimaan pengguna terhadap jenama yang bermula sebagai produk tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Borenos Fried Chicken Sdn Bhd, Janice Yeo, berkata syarikat kini memberi tumpuan memperkukuh kedudukan dalam pasaran Malaysia sebelum mempertimbangkan peluang untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Setelah kita stabil, mungkin ada peluang yang akan keluar dari Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Borenos turut merancang membuka sebuah lagi cawangan di Semporna dalam tempoh kira-kira dua bulan akan datang, selain tidak menolak kemungkinan mengembangkan operasi ke Sarawak.

Katanya, keputusan mengenai lokasi pengembangan seterusnya akan ditentukan berdasarkan keutamaan dan perkembangan operasi syarikat.