KOTA KINABALU: Tiga mangsa ditemukan rentung manakala seorang lagi cedera melecur dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Darau, Menggatal, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.43 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari balai Lintas tiba di lokasi pada jam 1.50 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 40 x 40 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan sumber air dari tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kemudian menemukan tiga mangsa dalam keadaan rentung, masing-masing seorang wanita berusia 67 tahun, lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 29 tahun.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 34 tahun, mengalami kecederaan akibat melecur dan dikejarkan ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.19 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.