KOTA KINABALU: Tiga jalan utama di bandar raya Kota Kinabalu akan ditutup sepenuhnya pada 25 Ogos ini bagi memberi laluan kepada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu notis memaklumkan penutupan membabitkan Jalan KK By Pass, Jalan Tun Fuad Stephen dan Jalan SICC.
“Penutupan akan dilaksanakan pada 6 pagi hingga 10 pagi, 25 Ogos 2026 (Selasa) bagi melancarkan perjalanan program yang dijadualkan bermula di Padang Merdeka, Kota Kinabalu sebelum berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya.
Tambahnya, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan berkenaan.
“Antara laluan alternatif yang dicadangkan ialah Jalan Bukit Nenas, Jalan Istana Kota Kinabalu, Jalan Bukit Bendera Upper dan Jalan Istiadat,” jelasnya.
JKR Sabah turut menasihatkan orang awam supaya mematuhi segala arahan serta panduan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
“Orang ramai juga digalakkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau kelewatan susulan penutupan jalan berkenaan,” tambahnya.