1,500 komuniti Papar sertai karnival, perkasa kesedaran keselamatan dalam talian

PAPAR: Lebih 1,500 penduduk setempat menyertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Papar yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di sini, pada Sabtu.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival bersempena Bulan Kebangsaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya komuniti di peringkat akar umbi.

Sehingga Julai 2026, Kempen Internet Selamat di Sabah telah diperluaskan ke lebih 1,300 institusi pendidikan dan menjangkau lebih 148,300 individu.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memastikan mesej keselamatan dalam talian dapat disampaikan kepada masyarakat merentasi kawasan bandar, luar bandar dan komuniti akar umbi menerusi pendekatan ‘Masuk Kampung’.

“Keselamatan dalam talian memerlukan penglibatan seluruh komuniti.

“Ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan anak-anak mempunyai peranan masing-masing
dalam membentuk persekitaran digital yang positif, di samping membantu mengurangkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat
peribadi serta ancaman siber yang lain,” katanya.

Turut hadir, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim; ADUN Kawang, Dato Sri Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar; dan ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin bin Pengiran Tahir Petra.

Menurutnya, usaha itu penting bagi membantu mengurangkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi serta ancaman siber lain yang semakin kompleks.

Sempena Bulan Kebangsaan, semangat patriotisme turut boleh diterjemahkan menerusi penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan mengamalkan etika komunikasi yang baik.

Masyarakat juga digalakkan bersama-sama membendung penyebaran kandungan palsu yang berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat.

Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Jalur Gemilang bagi menyemarakkan inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”, selain sesi perkongsian keselamatan Internet, pameran agensi Kerajaan, aktiviti komuniti dan Jualan RAHMAH MADANI.

MCMC akan terus memperluas usaha pendidikan dan kesedaran keselamatan dalam talian bagi memastikan lebih ramai rakyat mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk melindungi diri dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

Usaha berkenaan penting dalam melahirkan masyarakat yang celik digital, berdaya tahan serta mampu memanfaatkan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.