‘Beliau mendapat hidayah Allah SWT, kita beri sokongan moral’ – Hajiji

PITAS: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkan penghijrahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Ruddy Awah sekeluarga memeluk Islam sebagai hidayah daripada Allah SWT.

Beliau berkata, keputusan tersebut merupakan pilihan peribadi Ruddy dan keluarganya yang perlu dihormati oleh semua pihak.

“Ini adalah sesuatu yang saya rasa beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi, kita beri beliau sokongan moral,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap perkara berkenaan tidak dijadikan sebagai satu isu memandangkan ia merupakan pilihan peribadi yang melibatkan hubungan individu berkenaan dengan Allah SWT.

“Saya tidak mahu perkara ini dijadikan isu kerana ini adalah pilihan peribadi di antara dia dengan Allah SWT,” ujarnya.

Hajiji turut menyampaikan sokongan moral kepada Ruddy dan keluarganya atas keputusan yang dibuat itu.

Ruddy bersama isteri dan seorang anak lelakinya melafaz dua kalimah syahadah di kediaman mereka dan dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.

Memetik laporan Berita Harian sebelum ini, Ruddy berkata, keputusan untuk memeluk Islam itu bukanlah sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses pertimbangan dan pencarian selama lebih 10 tahun.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan beliau turut mengikuti pelbagai ceramah berkaitan Islam selain mendalami dan mempelajari tatacara agama berkenaan.

Menurutnya, penghijrahan itu dibuat atas keikhlasan hati dan tidak dipengaruhi kepentingan politik, keluarga mahupun sebarang tawaran daripada mana-mana pihak, sebaliknya selepas merasakan dirinya menerima hidayah.