Blok lima pintu, rumah dan empat kenderaan musnah terbakar

TAWAU: Sebuah blok lima pintu dan sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran berhampiran Jambatan Kampung Kalabakan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.03 malam itu, dua kereta dan dua motosikal turut musnah selepas terbakar sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.03 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba kira-kira jam 8.57 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 91 kilometer dari BBP Tawau.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah blok lima pintu dan sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal terbakar 100 peratus.

“Turut musnah ialah dua kereta dan dua motosikal yang masing-masing terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jemishin berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan, manakala sumber air diperoleh dari sungai berhampiran.

Menurutnya, operasi turut berdepan cabaran apabila lokasi kejadian tidak mempunyai liputan Sistem Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) serta talian telefon.

“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.17 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.28 malam selepas keadaan disahkan selamat.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian,” katanya.

Operasi turut membabitkan lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan serta dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.