KUNAK: Tiga daripada enam sekeluarga maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas sendiri dalam kemalangan di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, petang tadi.
Mangsa yang maut membabitkan seorang nenek, menantu dan cucunya, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.05 petang sebelum sebuah jentera bersama empat anggota dikejarkan ke lokasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 6.10 petang, kira-kira enam kilometer dari BBP Kunak.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva yang terbabas sendiri di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keenam-enam mangsa sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Tiada operasi menyelamat dilakukan pasukan bomba kerana semua mangsa sudah berada di luar kenderaan. Pasukan hanya mengambil maklumat dan memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.
Mohamad berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya