KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat bukan sahaja membuka pelbagai peluang kepada masyarakat, malah turut membawa cabaran baharu yang perlu ditangani dengan penuh berhemah.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman berkata, perubahan teknologi yang berlaku begitu pantas turut mengubah cara manusia berkomunikasi, memperoleh maklumat dan membentuk pandangan.
Menurutnya, perkembangan teknologi perlu sentiasa dipandu nilai serta akhlak mulia agar manfaatnya dapat disalurkan untuk kepentingan masyarakat.
“Dalam dunia yang semakin pantas berubah, kemajuan teknologi dan keterbukaan maklumat mencipta pelbagai peluang, namun dalam masa yang sama mendatangkan cabaran baharu.
“Cara manusia berkomunikasi, memperoleh maklumat dan membentuk pandangan turut berubah dengan begitu cepat,” katanya
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M, di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Tun Musa berkata, kemajuan teknologi sewajarnya dijadikan medium menyebarkan ilmu, memperkukuh hubungan dan membawa manfaat kepada masyarakat.
“Bukannya dijadikan medan untuk menyebarkan fitnah, kebencian, penghinaan mahupun perkara yang boleh merosakkan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata, nilai dan akhlak yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan dalam mendepani perubahan dunia termasuk cabaran komunikasi serta penyebaran maklumat pada masa kini.
Menurutnya, kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan kebendaan, sebaliknya turut dinilai menerusi ketinggian akhlak, amanah, keadilan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap sesama insan.
Dalam pada itu, Tun Musa menyeru rakyat Sabah supaya terus memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kepelbagaian suku kaum, agama serta budaya.
Katanya, perbezaan pandangan perlu diurus dengan hikmah manakala perselisihan tidak seharusnya dibiarkan berkembang menjadi permusuhan.
“Perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah. Perselisihan jangan dibiarkan menjadi permusuhan,” katanya.