KOTA BELUD: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera selepas kereta Perodua Alza dinaiki empat individu bertembung dengan lori 10 tan membawa muatan pasir di Jalan Taman Nikmat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa wanita berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada jam 11.09 pagi, kemalangan membabitkan lori 10 tan yang membawa muatan pasir dengan sebuah Perodua Alza.
“Empat mangsa berada di dalam Perodua Alza dan pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa wanita berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah, manakala seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera ringan.
“Kedua-duanya dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans KKM dan kenderaan Toyota Hilux,” katanya.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami kecederaan dan dibawa pulang oleh ahli keluarganya.
“Pemandu lori bagaimanapun tiada di lokasi kejadian dan maklumat lanjut berkaitan keberadaannya tidak diperoleh.
“Operasi tamat pada jam 12.18 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat,” katanya.