KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kebocoran dokumen sulit berkaitan pembiayaan pembelian sebuah rumah melalui pinjaman bank yang didakwa membabitkan dirinya.
Jasnih berkata, beliau sudah menghubungi pihak bank dan firma guaman yang terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana dokumen berkenaan boleh tersebar dan dimuat naik di media sosial.
Menurutnya, dokumen yang ditularkan menerusi sebuah portal media sosial pro-pembangkang itu merupakan bahan sulit yang hanya boleh diakses oleh pihak tertentu, termasuk bank, firma guaman dan beberapa agensi berkaitan.
“Untuk isu yang baru diviralkan dua hari lepas berkenaan perolehan aset peribadi oleh saya yang memaparkan dokumen-dokumen sulit yang hanya boleh diakses oleh mereka dan beberapa agensi yang terbabit, saya sudah menghubungi pihak bank dan firma guaman untuk membuat penjelasan berkenaan kebocoran dokumen sulit.
“Kononnya dokumen itu dibekalkan oleh ‘whistleblower’ kepada pemegang akaun media sosial berkenaan,” katanya menerusi kenyataannya hari ini.
Jasnih berkata, isu berkenaan bukan hanya menyentuh kredibiliti dirinya sebagai pembeli, malah turut memberi kesan terhadap reputasi institusi yang diamanahkan untuk mengendalikan dokumen berkenaan secara sulit.
Katanya, pihak bank dan firma guaman mempunyai reputasi serta amanah yang perlu dipertahankan, justeru tindakan undang-undang dilihat sebagai langkah terbaik bagi membersihkan imej semua pihak yang terbabit.
“Walaupun impaknya kepada saya tidaklah memudaratkan, tetapi pihak bank dan firma guaman yang telah diberikan kepercayaan untuk memegang amanah dan kerahsiaan kini diragui.
“Mereka juga ada reputasi yang perlu dipertahankan, demikian juga saya. Saya tiada halangan dan sama-samalah kita bertindak,” katanya.
Sebelum ini, dokumen berkaitan urusan pembelian sebuah rumah dua tingkat bernilai kira-kira RM1.9 juta ditularkan di media sosial, selain beberapa dakwaan berkaitan sumber pembiayaan pembelian berkenaan.
Jasnih bagaimanapun tidak memperincikan bentuk tindakan undang-undang yang akan diambil, sebaliknya menyerahkan perkara itu untuk tindakan pihak berkaitan.
Beliau berharap tindakan yang bakal diambil dapat menjadi pengajaran dan membawa kebaikan kepada semua pihak.
“Mudah-mudahan menjadi suatu kebaikan dan pengajaran. Insya-Allah,” katanya.