TAWAU: Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian bundle jenis tidak kekal musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Titingan, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 4.51 pagi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan kawasan berkeluasan kira-kira 100 x 120 meter persegi dan api berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian ini.
“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan enam pancutan air daripada sumber jentera bomba dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jemishin berkata, seramai 16 anggota BBP Tawau bersama 10 anggota Bomba Komuniti terbabit dalam operasi itu.
Katanya, turut membantu operasi ialah 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebanyak 350 buah rumah dan lot kedai berjaya diselamatkan daripada kebakaran.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.42 pagi,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.