TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kereta Proton Saga yang dinaikinya terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari kenderaan sebelum mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
Menurutnya, Proton Saga itu dipandu wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang dipercayai tertidur ketika memandu.
“Pemandu kemudiannya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan, melanggar sebatang pokok dan terbalik ke dalam parit.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala kenderaan berkenaan adalah milik rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, pemandu mengalami kecederaan pada muka dan tengkuk, manakala penumpang mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan, namun penumpang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam pada hari sama,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang disyaki tertidur ketika memandu.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti keseluruhan keadaan yang membawa kepada kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272,” katanya.
Rosdi turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan diri cukup rehat sebelum memulakan perjalanan.
“Sekiranya berasa mengantuk ketika memandu, berhentilah di lokasi yang selamat dan berehat terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.