TAWAU: Kerajaan Sabah mengambil langkah segera bagi menangani isu tambang penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur yang dilaporkan mencecah sehingga RM1,000 sehala, khususnya membabitkan pelajar yang melanjutkan pengajian ke Semenanjung.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu mendapat perhatian serius Ketua Menteri Sabah sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri kini sedang menyediakan surat rasmi arahan Kabinet untuk dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam masa terdekat.
“Saya difahamkan hingga menjangkau RM1,000 sehala daripada Tawau ke Kuala Lumpur.
“Saya berharap kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan Malaysia mengambil perhatian perkara ini bagi memastikan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih murah dan bersesuaian dengan kemampuan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni 115 pelajar baharu institusi pengajian tinggi (IPT) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas di sini pada Jumaat, selain menyampaikan bantuan kewangan bagi membantu keperluan pendaftaran pengajian mereka.
Nizam berkata, isu tambang penerbangan yang tinggi perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menambah beban kewangan ibu bapa, terutama keluarga yang mempunyai anak melanjutkan pengajian di Semenanjung.
Katanya, campur tangan MOT diperlukan bagi memastikan pelajar dari Sabah, khususnya Tawau, mendapat akses kepada tambang penerbangan yang lebih munasabah.
“Kita berharap ada satu penyelesaian yang dapat membantu bukan sahaja pelajar dari DUN Apas, tetapi juga anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini menunggu maklum balas rasmi daripada MOT selepas surat berkenaan dikemukakan.
Menurutnya, satu mekanisme yang sesuai diharap dapat diwujudkan bagi mengurangkan tekanan kos perjalanan pelajar dari Sabah.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kos penerbangan tidak menjadi halangan kepada anak-anak Tawau dan Sabah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.